Showing posts with label sudut rohani. Show all posts
Showing posts with label sudut rohani. Show all posts

Tuesday, April 24, 2012

majlis ilmu



assalamualaikum...



       Suatu  hari  Nabi  Muhammad  s.a.w.  bertemu  dua  kumpulan   muslimin . Satu  kumpulan  sedang beribadah   sambil  bermohon  dan  berdoa  kepada  Allah s.w.t. , manakala  satu  kumpulan  lagi  sedang mengadakan  majlis  ilmu . Kedua-duanya  baik , tetapi  Nabi  memilih  yang  terlebih  baik .

      Nabi  s.a.w.  memilih  majlis  ilmu  yang  sedang  berlangsung . Baginda  duduk  bersama-sama  kumpulan kaum  Muslimin  yang  hadir  dalam  majlis  tersebut . Walaupun  Baginda  seorang  Nabi  dan  orang  yang  alim  serta  paling   berilmu  di  kalangan  sekalian  manusia , Nabi  tetap  cinta  kepada  ilmu  pengetahuan .
      Malah  pada  bulan  Ramadan , Nabi  s.a.w.  akan  bertadarus  al-Quran  dengan  Malaikat  Jibril  a.s.  Nabi   membaca   dan  Malaikat  Jibril  a.s.  mendengar  sambil  menyemak  bacaan  Nabi . Ia  juga termasuk  dalam  proses  belajar .

     Nabi  s.a.w.  bersabda , " Ilmu  itu  merupakan  khazanah  ( perbendaharaan ) . Anak  kuncinya  ialah  bertanya . Kerana  itu  bertanyalah  kamu , kerana  dengan  bertanya  itu  akan  diberikan  ganjaran  empat  golongan . ( Iaitu ) orang  yang  bertanya , orang  yang  mengajar , orang  yang  mendengar  dan  orang  yang  mencintainya ."  ( Riwayat  Abu  Na'im  daripada  Sayidina  Ali )
Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:”Jadikanlah dirimu orang alim (berilmu) atau orang yang menuntut ilmu atau orang yang selalu mendengar pengajaran atau orang yang mencintai (tiga golongan yang tersebut) dan janganlah engkau menjadi dari golongan yang kelima, yang dengan sebabnya engkau akan binasa.
 
Riwayat al-Bazzar





Huraian
 
Pengajaran hadis:

i) Ilmu menduduki darjat yang tinggi di sisi manusia dan juga di sisi Allah S.W.T. Orang yang berilmu akan dimuliakan oleh penduduk langit dan bumi sebaliknya bagi orang yang tidak berilmu. Oleh itu setiap mukmin hendaklah berusaha mempertingkatkan kemajuan dirinya sama ada :
a) Menjadikan dirinya orang alim (berilmu) yang mengajarkan ilmunya kepada orang lain 
b) Menjadi orang yang belajar (menuntut ilmu)
c) Mendengar atau mengikuti majlis-majlis ilmu.
d) Menghormati atau mencintai salah satu atau ketiga-tiga golongan di atas dengan menurut jejak langkah mereka.
 
ii) Dengan adanya sifat-sifat yang disebutkan di atas maka kehidupan seseorang itu akan sentiasa terjamin untuk mendapat keselamatan dan kebahagiaan jasmani atau rohani kerana ia sentiasa berada dalam jagaan ilmu pengetahuan yang memimpinnya ke jalan yang benar dan memberinya kesedaran untuk memilih antara yang baik dan yang buruk.
 
iii) Manakala mereka yang tidak termasuk dalam golongan tersebut atau yang dipanggil masyarakat sebagai ‘bodoh sombong’ maka mereka adalah golongan yang bakal mendapat kebinasaan kerana mereka tidak ada pimpinan yang dengannya dapat memandu kepada kebaikan melainkan hidup terumbang ambing dan tenggelam dalam kesesatan. 
Kelebihan Ilmu:

      Untuk mengetahui apa yang ditawarkan untuk penuntut ilmu, sangat elok kita merujuk terus kepada ayat-ayat Allah dan hadith-hadith Nabi S.A.W berkaitan dengannya.

  1. Ilmu suatu nikmat dan kelebihan daripada Allah
   Firman Allah S.W.T:
 "…..dan Dia telah menurunkan ke atas kamu al-Kitab dan al-Hikmah (kebijaksanaan/as-sunnah), seterusnya Dia mengajar kamu apa yang kamu belum ketahui, dan kelebihan yang Allah berikan kepadamu adalah besar sekali". (an-Nisa':113)

  1. Orang berilmu diiringkan dengan para malaikat
   Firman Allah S.W.T:
  "Allah taala telah bersaksi bahawasanya tiada Tuhan selain daripada-Nya, demikian juga para malaikat-Nya serta orang-orang yang berilmu, berdiri dengan keadilan". (Ali 'Imran:18)

  1. Ilmu mengangkat darjat pemiliknya
   Firman Allah S.W.T:
 "Allah mengangkat orang-orang yang beriman di kalangan kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat". (al-Mujadilah:11)

Firman-Nya lagi:
 "adakah sama di antara orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui?" (az-Zumar:9)

  1. Ilmu asas takut kepada Allah
Firman Allah:
"Hanyasanya orang yang takut kepada Allah ialah adalah dari kalangan hamba-Nya yang berilmu". (Fatir:28)

  1. Ilmu kunci ke syurga
Sabda Rasulullah S.A.W:
 "Barangsiapa yang berjalan bagi mendapatkan ilmu, nescaya akan dipermudahkan oleh Allah jalan menuju ke syurga". (H.R Abu Daud dan Ibn Majah, hadis hasan)

  1. Ilmu menyambung kebaikan amalan
Sabda Rasul S.A.W:
"Jika mati anak Adam, terputuslah amalannya melainkan tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang dimanafaatkan dan anak yang soleh yang mendoakannya". (H.R Muslim)

   Janganlah kamu meninggalkan majlis ilmu, walaupun kamu tidak berjaya meninggalkan maksiat, kerana jika seseorang meninggalkan majlis ilmu selama 3 hari,maka hatinya akan sakit, dan jika dia terus menerus meninggalkannya maka akhirnya hatinya menjadi mati,maka ketika itu segala nasihat sudah tidak manfaat lagi kerana hatinya sudah tdk dapat menerimanya lagi, dan janganlah kamu mengatakan tiada faedah duduk dalam majlis ilmu sedangkan maksiat tetap aku lakukannya bahkan teruskan hadir majlis ilmu,manalah tahu suatu hari nanti kamu mendapat limpahan berkat dari orang yang menyampaikan ilmu atau orang yang ikhlas yang hadir dalam majlis ilmu tersebut,atau sekurang2nya dapat duduk bersama dgn orang2 yang soleh di dalam majlis ilmu tersebut. - Ustaz Azhar Idrus


sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, SMK agama yan, Institut al qayyim, Ustaz Azhar Idrus





Sunday, April 22, 2012

aurat seorang wanita - notes buat muslimah




artikel oleh: ustaz nor amin
AURAT SEORANG WANITA:


Islam telah menetapkan supaya wanita berpakaian longgar dengan warna yang tidak menarik serta menutup seluruh badannya dari kepala hingga ke kaki. Kalau dibuat perbandingan dari segi harta dunia seperti intan dan berlian, ianya dibungkus dengan rapi dan disimpan pula di dalam peti besi yang berkunci. Begitu juga diumpamakan dengan wanita, kerana wanita yang bermaruah tidak akan mempamerkan tubuh badan di khalayak umum. Mereka masih boleh tampil di hadapan masyarakat bersesuaian dengan garisan syarak.

Saya hairan kadang-kadang ada wanita yang bergelar ustazah yang berpakaian tidak mengikut syarak Islam. Bagaimana dia hendak menyampaikan seruan Islam kepada umum sedangkan dia juga berpakaian tidak ikut syarak. Sejak kebelakangan ini, pakaian menurut Islam dipesongkan dengan berbagai fesyen yang dapat menarik penglihatan lelaki terhadap pakaian yang dinamakan busana muslimah. Islam bukan menghalang berfesyen tetapi wajib mematuhi garisan yang telah ditetapkan Islam. Sepertimana firman Allah :


“sesungguhnya Allah suka kepada perkara yang cantik dan kemas”.

Ada setengah wanita Islam hanya meletakkan auratnya kepala dan rambutnya sahaja, contohnya kepala bertudung tetapi lengannya terbuka (pakai baju tangan pendek). Ada pula kain tebelah sehingga menampakkan kakinya, tetapi kepalanya bertudung. Ada yang bertudung Wahida atau Wardina tetapi dihiaskan dengan keronsang-keronsang yang berkilau serta berbaju kilat sehingga dapat menarik pandangan orang lain. Di kampung, ramai wanita keluar dari rumah untuk menjemur pakaian atau sapu sampah dikawasan rumahnya hanya bertudung atau diletakkan sehelai kain dikepalanya dan kakinya tidak berstokin.

Bagi wanita yang menjaga auratnya dengan berpakaian mengikut ketetapan yang telah ditetapkan oleh Islam, maka ia telah menjaga dirinya dari fitnah pandangan lelaki bukan mahram, bukan sahaja dia menjaga maruah dirinya, malah maruah wanita mukmin keseluruhannya. Harga diri wanita terlalu mahal. Percayalah dengan pakaian yang sempurna dapat menghindarkan dirinya dari perbuatan jahat, perbuatan keji dan mungkar. Wanita perlu ambil berat masalah ini, kerana takut diri mereka menjadi mangsa kepada kejahatan yang tidak diingini. Banyak kes-kes pencabulan, rogol dan sebagainya adalah disebabkan wanita berpakaian yang menarik dan menjolok mata.

Berfesyenlah seperti yang dikehendaki oleh Islam, jangan gadaikan diri anda kelembah dosa dan noda disebabkan fesyen yang tidak mengikuti syariat Islam. Jadilah wanita yang solehah (wanita muslimah) dengan berpakian dan berakhlak mulia. Sesungguhnya anda akan dipelihara oleh Allah sepertimana serikandi Islam iaitu Saidatina Aisyah, Saidatina Khadijah, Maryam ibu Nabi Isa, Rabiatul Adawiyah. Di bawah ini saya masukkan gambar busana muslimah yang menepati syariat Islam sebagai rujukan kita bersama.



Bertudung dan berpakian sebagai adat bukan menurut Islam



Bertudung dan Menutup Aurat sepertimana Dikehendaki Oleh Syariat Islam



DI MANAKAH NILAI TUDUNG WANITA?



Menyentuh berkenaan pakaian wanita, alhamdulillah sekarang telah ramai wanita menjaga auratnya, sekurang-kurangnya dengan memakai tudung. Dan di sana sini kita dapat saksikan para wanita kita memakai tudung. Pemakaian tudung penutup aurat sudah melanda dari orang bawah hingga orang atasan, dari peringkat pelajar-pelajar sekolah hinggalah ke pekerja-pekerjadi pejabat-pejabat.

Namun begitu, pelbagai gaya tudung dipakai. Tudung kadangkala tidak lengkap dipakai, pakai tudung tapi masih nampak batang leher, nampak dada, pakai tudung tetapi di masa yang sama pakai kain belah bawah atau berseluar ketat dan sebagainya. Pelbagai warna dan pelbagai gaya tudung dipakai. Pelbagai warna dan pelbagai fesyen tudung direka untuk wanita-wanita Islam kini.

Ada rekaan tudung yang dipakai dengan songkok didalamnya, dihias pula dengan kerongsang (broach) yang menarik. Labuci warna-warni dijahit pula di atasnya. Dan berbagai-bagai gaya lagi yang dipaparkan dalam majalah dan surat khabar fesyen untuk tudung. Rekaan itu semua bukannya untuk mengelakkan fitnah tetapi menambahkan fitnah ke atas wanita.

Walhal sepatutnya pakaian bagi seorang wanita mukmin itu adalah bukan sahaja menutup auratnya malah sekaligus menutup maruahnya sebagai seorang wanita. Iaitu pakaian dan tudung yang tidak menampakkan bentuk tubuh badan wanita, dan tidak berhias-hias yang manaakan menjadikan daya tarikan kepada lelaki bukan muhramnya. Dan pakaian yang boleh melindungi wanita dari jadi bahan gangguan lelaki yang tidak bertanggungjawab.

Bila wanita bertudung tetapi masih berhias-hias, maka terjadilah pakaian wanita Islam sekarang walaupun bertudung, tetapi semakin membesarkan riak dan bangga dalam diri. Sombong makin bertambah. Jalan mendabik dada. Terasa tudung kitalah yang paling cantik,up-to-date, sofistikated, bergaya, ada kelas.Bertudung tapi masih ingin bergaya.

Kesimpulannya, tudung yang kita pakai tidak membuahkan rasa kehambaan. Kita tidak rasa diri ini hina, masih banyak dosa dengan Tuhan mahupun dengan manusia. Kita tidak terasa bahawa menegakkan syariat dengan bertudung ini hanya satu amalan yang kecil yang mampu kita laksanakan. Kenapa hati mesti berbunga dan berbangga bila boleh pakai tudung?

Ada orang bertudung tetapi lalai atau tidak bersembahyang. Ada orang yang bertudung yang masih cari boy friend. Ada orang bertudung yang masih terlibat dengan pergaulan bebas. Ada orang bertudung yang masih menyentuh tangan-tangan lelaki yang bukan muhramnya. Dan bermacam-macam lagi maksiat yang dibuat oleh orang-orang bertudung termasuk kes-kes besar seperti zina, khalwat dan sebagainya.

Jadi, nilai tudung sudah dicemari oleh orang-orang yang sebegini. Orang Islam lain yang ingin ikut jejak orang-orang bertudung pun tersekat melihat sikap orang-orang yang mencemari hukum Islam. Mereka rasakan bertudung atau menutup aurat sama sahaja dengan tidak bertudung. Lebih baik tidak bertudung. Mereka rasa lebih bebas lagi.

Orang-orang bukan Islam pula tawar hati untuk masuk Islam kerana sikap umat Islam yang tidak menjaga kemuliaan hukum-hakam Islam. Walaupun bertudung,perangai mereka sama sahaja dengan orang-orang bukan Islam. mereka tidak nampak perbezaan agama Islam dengan agama mereka.

Lihatlah betapa besarnya peranan tudung untuk dakwah orang lain. Selama ini kita tidak sedar diri kitalah agen bagi Islam. Kita sebenarnya pendakwah Islam. Dakwah kita bukan seperti pendakwah lain tapi hanya melalui pakaian.

Kalau kita tutup aurat tetapi tidak terus memperbaiki diri lahir dan batin dari masa ke semasa, kitalah punca gagalnya mesej Islam untuk disampaikan. Jangan lihat orang lain. Islam itu bermula dari diri kita sendiri.

Ini tidak bermakna kalau akhlak belum boleh jadi baik tidak boleh pakai tudung. Aurat, wajib ditutup tapi baikilah diri dari masa ke semasa. Tudung di luar tudung di dalam (hati). Buang perangai suka mengumpat, suka berdengki, suka berbangga, ego, riak dan lain-lain penyakit hati.

Kalau sudah mula menutup aurat elak-elaklah diri dari suka bertengkar. Hiasi diri dengan sifat tolak ansur. Sentiasa bermanis muka. Elakkan pergaulan bebas lelaki perempuan. Jangan lagi berjalan ke hulu ke hilir dengan boy friend. Serahkan pada Allah tentang jodoh. Memang Allah sudah tetapkan jodoh masing-masing. Yakinlah pada pengaturan Allah.

Apabila sudah menutup aurat, cuba kita tingkatkan amalan lain. Cuba jangan tinggal sembahyang lagi terutama bila dalam waktu bekerja. Cuba didik diri jadi orang lemah-lembut. Buang sifat kasar dan sifat suka bercakap dengan suara meninggi. Buang sikap suka mengumpat, suka mengkeji dan mengata hal orang lain. jaga tertib sebagai seorang wanita. Jaga diri dan maruah sebagai wanita Islam. Barulah nampak Islam ini indah dan cantik kerana indah dan cantiknya akhlak yang menghiasi peribadi wanita muslimah.

Barulah orang terpikat untuk amalkan Islam. Baru orang bukan Islam hormat dan mengakui “Islam is really beautiful.” Semuanya bila individu Islam itu sudah cantik peribadinya. Oleh itu wahai wanita-wanita Islam sekelian, anda mesti mengorak langkah sekarang sebagai agen pengembang agama melalui pakaian.
KESALAHAN WANITA DALAM BERPAKAIAN:



Melihat kepada dunia sekarang, wanita-wanita Islam tidak mengambil berat soal aurat mereka. Pemakaian mereka ada kalanya tidak dapat dibezakan dengan wanita-wanita barat. Bahkan ada yang lebih teruk dari segelintirnya. Tetapi tidak ketinggalan juga bagi yang memakai tudung. Cara pemakaian tudung mereka tidak menepati apa yang dituntut oleh Islam. Antara kesalahan yang dilakukan adalah :

B
agi wanita, aurat itu adalah memakai tudung sahaja.

Bertudung tetapi ber‘T-Shirt' berlengan pendek.
Bertudung tetapi baju kebarungnya terbelah kainnya.

Bertudung tetapi bajunya sendat, sempit dan nipis lalu memaparkan bentuk kawasan-kawasan mudah ‘menggoda'.

Bertudung tetapi amat longgar dan menayangkan jambul dan hujung rambutnya.

Bertudung tetapi hanya memakainya di pejabat/kuliah sahaja. Tidak di sekitar rumah, pasaraya dan sebagainya.

Bertudung tetapi tudungnya dilempar ke belakang leher, maka terdedahlah dadanya dari ditutupi kain tudung. 



Bertudung tetapi dengan tudung yang amat nipis sehingga boleh diihat sanggul, leher, tengkuk dan dadanya.
Pendapat Ustaz
Firman Allah yang bermaksud :“Hai Nabi! Katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mu’min semua hendaklah mereka melabuhkan jilbab-jilbab mereka atas (muka-muka) mereka. Yang demikian itu lebih memastikan mereka agar dikenali (sebagai wanita Islam) supaya mereka tidak diganggu.” (al-Ahzab: 59)

Lagi Firman Allah yang bermaksud :
“Dan hendaknya mereka itu tidak menampak-nampakkan aurat dan perhiasannya kecuali terhadap suami atau ayahnya.” (an-Nur: 31)

Hadis Nabi Muhammad saw yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Ada dua golongan dari ahli neraka yang belum pernah saya lihat keduanya itu: (l) Kaum yang membawa cambuk seperti ekor sapi yang mereka pakai buat memukul orang (penguasa yang kejam); (2) Perempuan-perempuan yang berpakaian tetapi telanjang, yang cenderung kepada perbuatan maksiat dan mencenderungkan orang lain kepada perbuatan maksiat, rambutnya sebesar punuk unta. Mereka ini tidak akan boleh masuk syurga, serta tidak dapat akan mencium bau syurga, padahal bau syurga itu tercium sejauh perjalanan demikian dan demikian.” (Riwayat Muslim)
Kesimpulannya

Wahai sekalian wanita Islam kembalilah kamu semua ke ajaran Islam yang sempurna atau kaffah. Sesungguhnya diri kamu akan selamat di dunia dan di akhirat, Islam bukan agama yang membebankan kamu semua, tetapi Islam adalah agama yang paling cantik dan dapat menyelamatkan kamu dari fitnah dunia. Jadikanlah Khadijah dan Aisyah isteri Rasulullah saw sebagai contoh tauladan kamu semua kerana sesungguhnya mereka adalah umul mukminin (ibu mukmin).






Hijab



assalamualaikum..


juz nak kongsikan apa yang disampaikan oleh ustaz don mengenai pemakaian tudung..









"Dan katakanlah kepada para perempuan yang beriman, agar mereka menjaga pandangannya, dan memelihara kemaluannya, dan janganlah menampakkan perhiasan (auratnya), kecuali yang (biasa) terlihat. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya (auratnya)..." - terjemahan Surah An-Nur ayat 31

"Wahai Nabi! Katakanlah kepada isteri-isterimu,anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin, "Hendaklah mereka menutupkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka.” Yang demikian itu agar mereka lebih mudah untuk dikenali (pembeza muslim dan bukan muslim), sehingga mereka tidak diganggu. Dan Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang." - terjemahan Surah Al-Ahzab ayat 59


Daripada Abdullah bin 'Amr r.a., sesungguhnya Nabi saw bersabda: "Sampaikanlah daripadaku walaupun satu ayat dan ceritakanlah mengenai Bani Israil. Tiada sebarang kesempitan dan dosa" - HR al Bukhari

Sunday, August 14, 2011

bangun2 sahur!


assalamualaikum..

saya kongsikan artikel dari prof omar yaakob..


Di antara sunat puasa yang sering dipandang ringan oleh ramai umat Islam kini ialah bersahur. Bersabda Nabi (saw):

“ Makan sahurlah, kerana makan sahur itu berkat.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam hadis lain, Nabi (saw) bersabda:

“ Bersahur itu berkat maka janganlah kamu tin ggalkan, walau seorang di antaramu hanya meneguk air. Kerana Allah dan para Malaikat-Nya akan men gucapkan selawat kepada orang-orang yang bersahur”.(Hadis Riwayat Ahmad)

Dan adalah disunatkan kita melewatkan sahur tersebut, seperti dinyatakan oleh ‘Amar bin Maimun mengenai para sahabat Nabi (saw):

“Para saha bat Nabi Muhammad (saw) itu adalah orang-o rang yang paling bersegera berbukanya dan paling lambat bersahurnya” (Hadis Riwayat Baihaqi)

Di sana terdapat hikmah dan berkat yang besar dari sahur dan melewatkannya. Pertama, ia memberi kekuatan kepada yang berpuasa. Tetapi lebih besar ertinya pada kita ialah sahur memberi peluang untuk mendapat ucapan selawat dari Allah dan para malaikat. Bukan mudah untuk kita melayakkan diri menerima ucapan selawat daripada Pencipta dan Penguasa Alam dan para malaikat-Nya. Ini merupakan satu anugerah yang perlu direbut oleh setiap insan.

Mengingatkan anugerah ini, pastinya tidak terlalu sukar untuk kita bangun esok pagi untuk bersahur.

Satu lagi hikmah yang besar dari sahur yang lewat ialah ia akan memastikan kita berjaga di penghujung malam menjelang subuh; satu saat yang amat mustajab untuk berdo’a. Ambillah peluang bangunnya kita pada waktu sahur untuk menunaikan dua rakaat solat tahajjud atau hajat dan berdo’alah kepada-Nya Yang Maha Mendengar.

Di samping itu, bangunnya kita untuk bersahur menjelang subuh akan memastikan agar kita dapat solat subuh di awal waktunya; satu amalan yang amat disukai. Menurut sebuah hadis dari Abu Mas’ud al-Ansari:

“ Bahawa Rasulullah (saw) melakukan solat subuh di saat kelam pada akhir malam (di awal waktu subuh), kemudian pada kali lain dilakukannya ketika hari mulai terang. Setelah itu solat tetap dilakukannya pada waktu gelap tersebut sehingga beliau wafat, dan tidak pernah lagi pada waktu hari telah mulai terang.” ( Hadis Riwayat Abu Daud dan Baihaqi)

Di samping itu, berkesempatan pula kita bersolat sunat subuh yang disebutkan oleh Nabi (saw):

“Dua rakaat sunat subuh itu lebih baik daripada dunia dan seisinya.” (Hadis Riwayat Ahmad, Muslim, Tirmidhi dan an-Nisa’i)

Oleh itu, kita tidak boleh memandang sahur hanya sekadar untuk makan menambah tenaga bagi menguatkan badan; mungkin tidak diperlukan jika seseorang merasakan dirinya telah kuat. Tetapi sahur adalah lebih dari itu; ia adalah satu sunnah Nabi, melakukannya memberi kita peluang mendapat selawat dari Allah dan para malaikat, peluang untuk berdo’a di saat yang mustajab, dapat solat subuh di awal waktu dan dapat pula bersolat sunat yang begitu besar ganjarannya.

Semoga Allah mempermudahkan kita untuk istiqamah di atas sunnah Nabi-nya



Sunday, July 10, 2011

marilah menjadi dermawan seperti rasulullah saw





menurut uthman bin affan, semasa beliau sampai di rumah rasulullah saw, beliau melihat rasulullah saw sedang menjahit pakaiannnya. Pakaian itu sudah usang dan koyak di sana sini. Inilah satu-satunya pakaian yang dimiliki beliau bagi menutup auratnya semasa musim sejuk ataupun panas. Bukan beliau tidak mampu memiliki pakaian mewah seperti yang dipakai oleh Maharaja Rom dan Parsi, tetapi beliau ingin menjadi contoh tauladan kepada umatnya.

"Kemudian rasulullah saw bercadang hendak pergi ke pasar membeli barang keperluan untuk keluarganya. Beliau membawa wang sebanyak lapan dirham kerana itu sahaja wang miliknya yang ada. Sedangkan sekiranya beliau mahu, Allah boleh jadikan pasir dan gunung itu menjadi emas" kata Uthman bin affan

Menurut Uthman bin Affan lagi, dalam perjlanaan ke pasar, Nabi Muhammad saw bertemu seorang wanita yang sedang menangis kerana kehilangan wangnya. Lalu beliau memujuk wanita itu dengan memberinya dua dirham.

Apabila sampai di pasar, Nabi Muhammad saw membeli pakaian yang berharga empat dirham. Semasa dalam perjalanan pulang, beliau bertemu dengan seorang wanita lalu meminta pakaian itu dari Rasulullah saw. Beliau memberikan pakaian yang baru dibelinya itu. Kemudian beliau pergi semual ke pasar membeli sehelai pakaian yang lebih murah, berharga dua dirham

"Semasa dalam perjalanan pulang ke rumah, Rasulullah saw bertemu dengan seorang hamba perempuan yang menangis. Menurut hamba perempuan itu, dia takut pulang ke rumah kerana bimbang dimarahi oleh tuannya. Maka Rasulullah saw menawarkan diri bagi menghantar perempuan hamba itu pulang ke rumah majikannya" cerita Uthman bin Affan

"Apa yang berlaku selepas itu?" tanya umar al-khattab

"Hamba perempuan itu kepunyaan keluarga kaum ansar. Rasulullah saw sanggup menghantar hamba perempuan itu hingga sampai ke perkampungan orang ansar" jawab Uthman bin Affan

Menurutnya lagi, semasa itu keluarga itu sedang berbual-bual. Melihat kedatangan Rasulullah saw merasa berasa terlalu gembira. Apabila Rasulullah saw memberi salam, mereka tidak menjawab. Selepas tiga kali beliau memberi salam baru mereka menjawab. Apabila ditanya mengapa mereka berbuat begitu, mereka menjawab ingin mendengar Rasulullah saw mengucapkan banyak kali salam pada mereka.

"Diringkaskan cerita, hamba perempuan itu dimerdekakan oleh tuannya" kata Uthman Affan menamatkan ceritanya.

"Hanya dengan wang lapan dirham, Rasulullah saw dapat membantu mereka yang dalam kesusahan, memberi pakaian kepada orang miskin dan dapat memerdekakan seorang hamba" kata Abu Bakar as-siddiq pula



sumber: buku khalifah-khalifah yang benar



Rasulullah - Hijjaz


Rasulullah dalam mengenangmu

Kami susuri lembaran sirahmu

Pahit getir perjuanganmu

Membawa cahaya kebenaran

Engkau taburkan pengorbananmu

Untuk umat mu yang tercinta

Biar terpaksa tempuh derita

Cekalnya hatimu menempuh ranjaunya

Tak terjangkau tinggi pekertimu

Tidak tergambar indahnya akhlak mu

Tidak terbalas segala jasa mu

Sesungguhnya engkau rasul mulia

Tabahnya hatimu menempuh dugaan

Mengajar erti kesabaran

Menjulang panji kemenangan

Terukir nama mu di dalam Al Quran

Rasulullah kami ummatmu

Walau tak pernah melihat wajah mu

Kami cuba mengingatimu

Dan kami cuba mengamalsunnah mu

Kami sambung perjuanganmu

Walau kita tak pernah bersua

Tapi kami tak pernah kecewa

Allah dan rasul sebagai pembela

Wednesday, July 06, 2011

warkah untuk ibu dan ayah



assalamualaikum..



Surah al-isra' ayat 23-24:


"Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil."


UNIC- lafaz yang tersimpan:


Luluh hatiku yang sayu
Menatap wajahmu tenang dalam lena
Kasih zahirkan laku
Sedangkan bibirku jauh dari lafaznya

Dan raut tuamu membekas jiwaku
Meredakan rindu mendamaikan kalbu
Tak mungkin kutemu iras sentuhanmu
Biarpun kuredah seluruh dunia
Mencari gantimu

Betapa sukarnya menyusun bicara
Meluahkan rasa menuturkan sayang
Kasih yang terlimpah hanya sekadar
tingkah
Cuma ungkapan kebisuan yang
melindungkan kalimah rahsia

Masih kubiarkan waktu
Melarikan lafaz kasihku padamu

Mengapakah sukar menyusun bicara
Meluahkan rasa menuturkan sayang
Kasih yang terlimpah hanyalah sekadar
tingkah
Cumalah ungkapan bisu kalimah rahsia

Apakah yang hilang andai dilisankan
Bait penghargaan penuh kejujuran
Tak mungkin terlihat cinta yang merona
Jika hanya renungan mata yang bersuara
Bukan tutur kata

Tiada lagi ertinya pengucapan
Andai akhir nafas di hujung helaan
Sebelum mata rapat terpejam
Usah biar kehilangan
Menggantikan lafaz yang tersimpan




gambar masa raya 2 tahun lepas kot (tak ingat hehe)

Monday, July 04, 2011

hanya kerana mulut


assalamualaikum...

Rasulullah s.a.w. ditanya tentang kelakuan apakah yang paling banyak memasukkan seseorang ke dalam syurga. Jawab baginda: “Taqwa kepada Allah dan keindahan akhlak, dan ketika baginda ditanya: “Apakah yang paling banyak memasukkan orang ke dalam neraka?” Baginda menjawab: “Kejahatan mulut dan kemaluan”

*****

Alisya memasuki rumah dengan tergesa-gesa. Langkahnya laju menaiki anak tangga menuju ke biliknya. Dibantingnya pintu itu sekuat hatinya, hampir bergegar seisi rumah dengan dentuman yang kuat itu. Syahid yang berada di dalam bilik membuka pintu dan menjenguk ke luar, hairan dengan suasana itu. Perlahan-lahan dia melangkah keluar dari bilik dan menghampiri bilik adiknya itu. Ketukan demi ketukan bergema di ruangan bilik Alisya tetapi tidak diendahkan langsung olehnya. Alisya hanya mendiamkan diri, cuba meredakan kemarahannya sebentar tadi. Ketukan bergema kembali.

Adik, bukalah pintu ni. Kalau ada masalah tak elok buat perangai macam ni. Ceritalah kat abang, mana tahu abang boleh tolong”, kedengaran suara pujukan abangnya itu dari luar bilik. Alisya mengeluh kecil lalu bangun dan membuka pintu apabila memikirkan apa yang dikatakan oleh abangnya itu. Pintu sudah terbuka luas, dilarikan susuk wajahnya daripada pandangan abangnya. Bagi Syahid pula, dia faham benar dengan kerenah adiknya itu. Pasti ada perkara yang tidak memuaskan hatinya.

kenapa ni? Muka dah macam cencurut lapar je ni”, kata Syahid cuba bergurau tetapi ianya tidak member kesan langsung kepada Alisya. Perlahan-lahan Syahid membelai lembut kepala Alisya.

Okeylah, apa masalahnya ni? Cuba cerita kat abang”, Alisya mengeluh sekali lagi cuba mengingati apa yang terjadi di kelas pagi tadi.

Abang kenal Raudhah kan?” Syahid menjawab dengan anggukan. Dia tidak mahu bersuara, takut menghilangkan ‘mood’ Alisya untuk bercerita.

Alisya rasa dia ada buat guna-guna la kat En. Hisham tu”, terbelik mata Syahid mendengar kata-kata adiknya itu. Inilah kali pertama Alisya berani mengeluarkan perkataan seperti itu.

Astaqfirullahhala’zim..Alisya, cuba bawa mengucap. Tak elok menuduh orang sesuka hati, boleh jadi fitnah tau. Abang rasa Alisya yang kena guna-guna ni”, Alisya hanya mencebik, tidak berminat dengan gurauan abangnya itu.

Abang tahu tak, tiap-tiap semester dia je yang dapat perhatian. Dia tu pun bukan pandai sangat pun”, kata Alisya cuba mengawal kemarahannya. Syahid hanya menggelengkan kepalanya.

Tak elok mengata dia macam tu dik. Mungkin itu rezeki dia,rezeki kita tak tahu bila lagi. Mungkin lebih hebat dari apa yang dia dapat. Kita kena banyak sabar dan tiap yang berlaku pasti ada hikmahnya. Adik tak boleh bercakap sesuka hati, itu sudah dikira mengumpat tau”, nasihat Syahid. Dia tidak mahu kata-kata adiknya itu memakan dirinya sendiri.

Hadis riwayat Ahmad dan Tharani; “Barang siapa yang mengetahui ada orang mukmin dihina di depannya, ia harus membelanya, mempertahankan nama baik si mukmin itu. Apabila ia tidak mahu melakukan pembelaan itu, maka Allah s.w.t. akan menghinanya di depan orang ramai”.

Ala rezeki apa, tiap kali exam dia asyik meniru je”, kata Alisya penuh dengan perasaan ketidakpuashati. Syahid hanya menggelengkan kepalanya. Dia tahu adiknya itu dibelenggu dengan perasaan marah jadi tidak hairanlah kalau adiknya itu mengeluarkan kata di luar jangkaannya.

Adik ada bukti?” Alisya membisu tetapi kepalanya pantas menggeleng. Syahid hanya tersenyum.

Adik tahu tak, Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Wahai orang beriman dengan lidahnya tetapi belum beriman dengan hatinya! Janganlah kamu mengumpat kaum muslimin, dan janganlah kamu mengintip-intip keaibannya. Sesungguhnya, sesiapa yang mengintip keaiban saudaranya, maka Allah akan mengintip keaibannya dan dia akan mendedahkannya, meskipun dia berada dalam rumahnya sendiri. (riwayat Abu Daud)”, kata-kata itu masih belum dapat mengunci mulut Alisya. Dia masih lagi mahu menegakkan benang yang basah.

Tapi abang, apa yang adik cakapkan ni semuanya betul”, kata Alisya tegas, masih tidak mahu mengalah.

Adik,adik…Rasulullah menjelaskan, tatkala ditanya oleh seorang sahabat, “Wahai Rasulullah, apakah itu ghibah?” lalu jawab baginda, “Menyebut sesuatu yang tidak disukai oleh saudaramu di belakangnya!” Kemudian baginda ditanya lagi, “Bagaimana sekiranya apa yang disebut itu benar?” jawab baginda, “Sekiranya apa yang disebut itu benar, maka itulah ghibah, tetapi jika sekiranya perkara itu tidak benar, maka engkau telah melakukan buhtan (pembohongan besar).” (Hadis riwayat Muslim, Abu Daud dan At-Tarmizi) Jadi, tidak kiralah perkara itu benar ataupun tidak. Ianya tetap berdosa kerana adik telah membiacarakan soal ini dibelakang tanpa mengetahuinya. Adik tahu apa akibatnya?” Akhirnya mulut Alisya terkunci, hanya gelengan kepalanya sahaja yang menjawab soalannya itu. Syahid hanya tersenyum manis kerana telah berjaya melembutkan hati adiknya itu daripada terus melakukan kesalahan.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Awaslah daripada mengumpat kerana mengumpat itu lebih berdosa daripada zina. Sesungguhnya orang melakukan zina, apabila dia bertaubat, Allah akan menerima taubatnya. Dan sesungguhnya orang yang melakukan umpat tidak akan diampunkan dosanya sebelum diampun oleh orang yang diumpat. (riwayat Ibnu Abib Dunya dan Ibnu Hibban)”, kali ini Alisya benar-benar terkena. Dia memandang abangnya yang duduk tidak jauh darinya.

Adik tak ada niat pun nak mengumpat dia. Adik tak puas hati je. Adik tak pernah langsung diberi peluang walaupun sudah berusaha keras tapi nama Raudhah juga yang jadi perhatian”, Syahid tahu, adiknya itu berkecil hati apabila usahanya selama ini tidak dipandang langsung oleh orang sekeliling.

Jangan disebabkan ketidakpuasanhati adik tu, memakan diri adik sendiri. Kalaulah benar dia membuat kesalahan, dia pasti akan dapat balasannya. Cepat atau lambat, itu saja. Kalau adik berterusan mengumpat macam ni, adik juga yang rugi”, ada kerutan muncul di dahi Alisya.

Kenapa pula?” tanya Alisya inginkan kepastian.

Diriwayatkan oleh Abu Ummah Al-Bahili, di akhirat seorang terkejut besar apabila melihat catatan amalan kebaikan yang tidak pernah dilakukannya di dunia. Maka, dia berkata kepada Allah: “Wahai Tuhan ku, dari manakah datangnya kebaikan yang banyak ini, sedangkan aku tidak pernah melakukannya”. Maka Allah menjawab: “Semua itu kebaikan (pahala) orang yang mengumpat engkau tanpa engkau ketahui”. Adik nak ke kalau pahala adik berkurang dan menambahkan pahalanya tanpa dia sedar?” Alisya menundukkan dan menggelengkan kepalanya. Malu benar dia dengan sikap yang ditunjukkan di hadapan abangnya itu.

Maafkan Alisya ye, mungkin bukan rezeki Alisya lagi untuk mendapat tempat yang terbaik kat universiti tu”, kata Alisya dengan lembut. Dia lega kerana Syahid dapat menenangkan hatinya dengan serta-merta.

Macam itulah adik abang. Abang tahu adik abang ni bijak sangat. InsyaAllah, suatu hari nanti mungkin Alisya akan dapat lebih baik lagi dari apa yang Raudhah dapat tapi ingat jangan sesekali gunakan cara ini sebab mulut itu adalah satu senjata yang sangat tajam,lebih tajam dari pisau. Jadi kalau ada apa-apa masalah tak elok kalau adik bercerita di belakangnya. Kan elok kalau adik merapatkan silaturrahim dengannya, boleh bertukar pandangan. InsyaAllah, berkongsi ilmu itu lebih nikmat”, Alisya hanya tersenyum manis mendengar nasihat abangnya yang panjang lebar itu. Dia mulai sedar dengan kelancangan mulutnya itu yang boleh membawanya ke pintu neraka.


sumber: http://www.fikrahislam.com/kreatif/hanya-kerana-mulut/




Saturday, July 02, 2011

munajat



assalamualaikum..


rabbani - munajat:


Tuhan...
kubisikkan kerinduan
keinsafan... pengharapan...
Tuhan...kusembahkan pengorbanan
Membuktikan kecintaan


Bisikkanku untukMu

Munajatku mohon restu

Semoga cintaku bukan palsu
Pada desiran penuh syahdu

Gelombang lautan rinduku


Munajatku dalam syahdu

Merindui maghfirahMu

MardhiaMu dalam restu

Harapan tulusnya hatiku

Kurindukan pimpunanMu

KeagunganMu dalam doaku

Kebesaran pada kudratMu

Ia membina rohaniku


Tuhan...
kubisikkan kerinduan
Keinsafan... Pengharapan...
Tuhan...
kusembahkan pengorbanan

Membuktikan kecintaan

Ujian kepahitan di dalam kehidupan

Padanya ada kamanisan

Ketenangan dan kebahagian

Bayangan syurga idaman

Munajatku dalam syahdu

Merindui maghfirahMu

MardhiaMu dalam restu

Harapan tulusnya hatiku

Kurindukan pimpunanMu

KeagunganMu dalam doaku

Kebesaran pada kudratMu
Ia membina rohaniku

Tuhan...
kubisikkan kerinduan
keinsafan... pengharapan...
Tuhan...
kusembahkan pengorbanan

Membuktikan kecintaan



Hadis riwayat al-tirmizi:



Daripada abdullah bin busr r.a, seorang lelaki bertanya: "wahai rasulullah! sesungguhnya syariat islam (perkara wajib dan sunat) terlalu banyak ke atasku, beritahulah kepadaku sesuatu yang dapat kubergantung dengannya."


lalu rasulullah saw bersabda: "Hendaklah lidah kamu sentiasa dibasahi dengan zikir pada Allah"




"(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia." - surah ar- ra'd ayat 28

isra' mikraj



Hijjaz, In - Team, UNIC , Mestica - ISRA' MIKRAJ



Hening malam gelap yang membungkus
Desir angin tiada kedengaran
Gemuruh suara memanggil
Membangunkan Rasul dari tidurnya

Jibril berwajah putih bersih
Bersayap bergemerlapan
Dari Mekah ke Sidratul Muntaha B
uraq menawan tujuh petala
Membelah langit

Langit perak bertatahkan bintang
Bergantungan rantai-rantai keemasan
Tiada iblis dan juga syaitan
Dapat mendengarkan rahsianya Tuhan

Tabir akhirat disingkapkan
Membenarkan apa yang diwahyukan
Dosa pahala dijelaskan
Dipamerkan tiap pembalasan

Langit perak bertatahkan bintang
Bergantungan rantai-rantai keemasan
Tiada iblis dan juga syaitan
Dapat mendengarkan rahsianya Tuhan

Dipertemukan dengan Nabi-nabi
Diperlihatkan ragam malaikat
Diperbentangkan hari kebangkitan
Diwajibkan lima waktu sembahyang

Isra? mikraj yang amat panjang
Disingkatkan menjadi semalaman
Sukarnya untuk dipercaya
Hanya keimanan yang membenarkannya



surah al isra' ayat 1:


"Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
"

Friday, June 24, 2011

sabar...



assalamualaikum...


harini rasa mood agak tak baik, macam2 jadi.. tadi masa pulang dari hospital muar, saya drive agak laju sebab nak lepaskan tensen agaknya.. sambil2 tu dengar lagu nasyid yang berkumandang di radio...

memang tak dinafikan setiap kali kalau ada masalah, ataupun bad mood, memang lagu nasyid yang jadi pilihan saya, tak pernah sesekali lagu ni gagal menceriakan kembali mood yang telah hilang...


lagu sami yusuf-asma Allah berulang kali saya putarkan, sebab betul2 mendamaikan.. kepada sesiapa yang belum pernah lagu ni, sebenarnya lagu yang saya pasang di blog ni, nilah lagu sami yusuf-asma Allah.. best kan?

haha ok nak kongsi satu artikel yang saya dpt dari satu blog, agak bagus untuk topik SABAR


Oleh Prof Madya Dr Abdul Rashid Ahmad


Tabah terhadap segala dugaan, syukuri nikmat lambang ketinggian iman umat


IMAN terbahagi kepada dua bahagian. Satu bahagian dinamakan kesabaran dan satu bahagian lagi dinamakan kesyukuran. Kedua-duanya adalah sifat Allah dan di antara dua nama-Nya yang mulia kerana Allah sendiri menamakan diriNya dengan Sabbur dan Syakur.


Jika seseorang itu jahil daripada memahami erti kesabaran dan kesyukuran, samalah dengan tidak memahami erti kedua bahagian iman itu sendiri. Dengan demikian, samalah ia lupa kepada sifat Allah sedangkan untuk mendekatkan diri kepada Allah tidak tercapai melainkan dengan iman.


Allah berfirman yang bermaksud:


“Dan sesungguhnya Kami akan memberi balasan kepada orang yang sabar dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan.” (Surah al-Nahl, ayat 96)


Firman-Nya lagi yang bermaksud:


“Sesungguhnya hanya orang yang bersabarlah yang disempurnakan pahala mereka tanpa batas.” (Surah al-Zumar, ayat 10)


Dalam konteks ini, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:


“Sabar itu sebahagian iman.” (Hadis Riwayat Abu Na’im daripada Ibn Mas’ud)


Sabda Baginda SAW lagi yang bermaksud:


“Dalam kesabaran terhadap perkara yang tidak disukai itu banyak kebaikannya.” (Hadis Riwayat al-Tirmizi daripada Ibn Abbas)


Perkataan sabar disebut enam belas bentuk dalam al-Quran, iaitu perintah supaya bersabar (merujuk ayat 35 surah al-Baqarah, surah al-Imran (ayat 200), sementara larangan daripada bersikap sebaliknya pada ayat 35, surah al-Ahqaf dan surah al-Anfal, ayat 15.


Allah memuji orang yang sabar (surah Ali-Imran, ayat 17 dan al-Baqarah, ayat 177) sementara Allah kasih kepada orang yang sabar melalui firman-Nya dalam surah al-Baqarah, ayat 146.


Kesabaran lain yang dijelaskan dalam al-Quran ialah Allah bersama orang yang sabar, kebaikan bagi mereka yang sabar, balasan amal yang paling baik, berita gembira kepada orang sabar, jaminan kemenangan bagi orang yang sabar dan balasan Allah tanpa batas kepada orang yang sabar.


Selain itu, orang yang sabar adalah mereka yang kuat semangat dan azam, amalan salih yang besar balasannya adalah sabar, orang yang sabar mereka yang mengambil manfaat daripada ayat Allah, Ibrahim, kejayaan yang diingini dicapai oleh orang yang sabar, orang sabar boleh menjadi pemimpin dan mempunyai kedudukan tinggi dalam tingkatan iman dan Islam, seterusnya takwa dan tawakal.


Sabar terbahagi kepada tiga bentuk iaitu sabar dalam mentaati Allah, sabar daripada melakukan maksiat kepada Allah dan sabar menghadapi ujian Allah. Patut diingat bahawa mengadu dan merayu kepada Allah tidak menafikan sifat sabar.


Ini seperti mana berlaku kepada Nabi Ya’kub ketika baginda berkata:


“Sesungguhnya hanyalah kepada Allah aku mengadukan kesusahan dan kesedihanku,” (Surah Yusuf, ayat 86).


Adapun yang menafikan sifat sabar adalah merungut terhadap Allah, manakala bersabar terhadap ujian Allah seperti menghadapi bencana alam seumpama banjir besar, gempa bumi, sakit dan lain sebagainya, mangsa perlu menghadapinya dengan mengharapkan balasan sebaiknya daripada Allah.


Mangsa juga perlu mengharapkan penyelesaiannya daripada Allah dan ketiga menganggap ringan ujian itu dengan cara mengingati segala nikmat yang dikurniakan Allah selama ini. Dengan demikian akan terasa bahawa ujian itu bagaikan setitik air daripada luasnya laut.


Tanpa senjata sabar dalam perjalanan hidup ini, kehidupan seseorang tidak akan tenang dan damai kerana jalan hidup tidak selalunya mendatar, ada kalanya mendaki dan kadang-kadang jatuh.


- Penulis ialah pensyarah Jabatan Al-Quran dan Al-Hadith Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.


sumber: http://nurjeehan.hadithuna.com/2008/01/sabar-senjata-mulia-hadapi-ujian/