Tuesday, April 14, 2009

Pintu taubat itu luas



assalamualaikum.. ni juz artikel yg saya dpt dr website iluvislam.. agak bz kebelakangan ni.. tak dpt nak buat post karangan sendiri.. tp artikel ni banyak memberi manfaat kepada saya.. harap korg luangkan masa untuk bace die..


manusia itu memang lemah dan mudah melakukan kesilapan. Tetapi saya menafikan tentang TIDAK TAHU bagaimana mahu ke pangkal jalan, dan adakah Allah akan mengampunkan. Islam adalah agama yang sentiasa memberi khabar gembira kepada penganutnya. Islam adalah sebuah agama yang seringkali memberi jalan dan petunjuk kepda penganutnya. Jalan dan petunjuk untuk mendapat kebahagian dan kesejahteraan di dunia dan akhirat.

Melakukan kesilapan yang mengundang dosa, adalah perkara yang memang akan dilakukan oleh manusia. Kecuali insan terpilih iaitu Nabi Muhammad saw yang disucikan Allah dari sebarang dosa. Bagi mereka yang melakukan dosa, Taubat adalah cara bagaimana untuk kembali mendapat keredhaan dan rahmat Allah. Tidak perlukan pembelian kertas indulgence, atau sebarang ritual yang merosakkan fizikal mahupun mental. Cuma menghadap kepada-Nya, kemudian melakukan taubat kepada-Nya, Tuhan yang maha pengasih dan penyayang.

“Taubat ialah kembali taat kepada Allah s.w.t dan menyesal dengan bersungguh-sungguh terhadap dosa yang telah dilakukan sama ada dosa besar mahupun dosa kecil serta memohon keampunan dari Allah.”

Kata Allah dalam surah Al-taubat,ayat 118,

"Kemudian Allah menerima taubat mereka agar mereka tetap dalam taubatnya. Sesungguhnya Allah-lah Yang maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang.”


Berulang kali bertaubat


Memang benar manusia itu sering lupa dengan apa yang dilakukan. Dan tidak tidak hairanlah jika, manusia akan mengulang perlakuan yang dilakukan dahulu. Allah itu maha mengetahui dan bijaksana. Disebabkan kelemahan dan kedhaifan manusia yang pasti akan melakukan kemaksiatan kepada-Nya. Maka Allah sendiri telah berjanji, bahawa Dia akan sentiasa mengampunkan hambanya walaupun dosa itu dilakukan berkali-kali, dengan jalan bertaubat.

Janji Allah ini telah disampaikan melalui, mulut mulia Nabi Muhammad saw yang bermaksud:

“Hadis riwayat Abu Hurairah ra, dia berkata: Dari Nabi saw tentang yang beliau riwayatkan dari Tuhannya, beliau bersabda: Seorang hamba melakukan satu perbuatan dosa lalu berdoa: "Ya Allah, ampunilah dosaku". Allah Taala berfirman: Hamba-Ku telah berbuat dosa dan dia mengetahui bahwa dia mempunyai Tuhan yang akan mengampuni dosa atau akan menghukum karena dosa itu. Kemudian orang itu mengulangi perbuatan dosa, lalu berdoa lagi: Wahai Tuhan-ku, ampunilah dosaku. Allah Taala berfirman: Hamba-Ku telah berbuat dosa dan dia mengetahui bahwa dia mempunyai Tuhan yang akan mengampuni dosa atau menyeksa kerana dosa itu. Kemudian orang itu melakukan dosa lagi, lalu berdoa: Wahai Tuhanku, ampunilah dosaku. Allah Taala berfirman: Hamba-Ku telah berbuat dosa dan dia mengetahui bahwa dia mempunyai Tuhan yang akan mengampuni dosa atau menghukum kerana dosa itu serta berbuatlah sesukamu, kerana Aku benar-benar telah mengampunimu. Abdul A'la berkata: Aku tidak mengetahui apakah Allah berfirman "berbuatlah sesukamu" pada yang ketiga kali atau keempat kali.” (hadith Qudsi direkodkan Imam Muslim)

Janji yang disampaikan ini, seharusnya menjadi motivasi kepada umat Islam. Agar umat Islam tidak cepat berputus asa mengharapkan keampunan dari Allah. Dosa sebesar manapun, yakinlah bahawa Allah maha pengampun dan maha penyayang. Pokoknya adalah Taubat. Jika ada keinsafan diri dan kemudian melakukan taubat kepada-Nya maka itu sudah memadai bagi mensucikan diri segala dosa yang pernah dilakukan.

Taubatnya si pembunuh

Jika dosa seorang pembunuh yang telah membunuh berpuluh-puluh orang pernah diampunkan oleh Allah inikan pula dosa yang pernah kita lakukan. Kisah pegampunan dosa terhadap pembunuh ini, dikhabarkan oleh Rasulullah melalui sebuah hadith yang direkodkan oleh Imam Muslim.

Maksudnya: "Dari Abu Sa'id Al Khudri r.a., bahawasanya Nabi SAW bersabda:

Zaman dahulu ada seorang pembunuh yang telah membunuh sembilan puluh sembilan orang.

Lalu dia bertanya kepada penduduk negeri, "Siapa ulama yang paling alim di negeri ini?"

maka ditunjukkan orang seorang rahib (pendeta). Lalu di datangi rahib itu seraya mengatakan bahawa dia telah membunuh sembilan puluh sembilan orang.

Kemudian dia bertanya apakah pintu taubat masih terbuka baginya atau tidak?

jawab Rahib: "Tidak!" maka dibunuhnya rahib itu, dan genaplah pembunuhannya seratus orang.

Kemudian dia bertanya pula penduduk; "siapa ulama di negeri ini?" maka ditunjukkan orang kepadanya seorang ulama yang alim.

Dia menceritakan kepada orang alim itu bahawa dia telah membunuh seratus orang. kemudian bertanya apakah pintu taubat masih terbuka baginya atau tidak?

Jawab ulama, "Ya, selalu terbuka! Pintu taubat selamanya tidak pernah tertutup. Siapa yang sanggup menutup pintu taubat bagi kamu? pergilah kamu ke negeri begini begini, kerana di sana penduduknya menyembah Allah. Sembahlah Allah bersama-sama dengan mereka dan jangan kembali lagi ke negeri kamu, kerana negeri kamu telah rosak." Maka pergilah orang itu ke negeri yang ditunjuk ulama.

Setengah perjalanan tiba-tiba orang itu meninggal. Maka bertengkarlah malaikat rahmat dengan malaikat 'Azab. Kata malaikat rahmat, "orang ini telah taubat dan dia sedang menghadap dengan hati yang taubat itu kepada Allah Ta'ala" Kata malaikat Azab, "Dia belum pernah melakukan kebaikan sedikit jua pun."

Tiba-tiba datang seorang malaikat dengan rupa manusia, lalu dia berdiri di tengah-tengah mereka seraya berkata, "ukurlah jarak kedua negeri itu, ke mana yang lebih dekat bawalah dia ke situ." Setelah diukur ternyata yang lebih dekat ialah negeri yang ditujunya. Maka dibawalah dia oleh malaikat rahmat."

Menurut ulama hadith, selain daripada mengkhabarkan tentang taubatnya seorang pembunuh yang diterima oleh Allah. Hadith ini juga membawa tunjuk ajar, bahawa mereka yang melakukan dosa itu haruslah berhijrah. Berhijrah dari konteks berubah dari berkawan dengan kawan yang tidak senonoh kepada kawan-kawan yang di hatinya penuh ingatan kepada Allah. Jika seseorang itu berada di kawasan yang sememangnya bangkit anasir-anasir kotor, maka berhijrahlah ke tempat yang lebih selamat dan mudah untuk kita mendekati Allah ta’ala.

Bukan setakat mengampunkan dosa, malahan Allah juga telah berjanji akan menggantikan kejahatan yang dilakukan dahulu itu dengan kebajikan.

Kata Allah dalam surah al-Furqan ayat 70:

"kecuali orang-orang yang bertaubat, beriman dan mengerjakan amal saleh; maka itu kejahatan mereka diganti Allah dengan kebajikan. Dan adalah Allah maha Pengampun lagi Maha Penyayang."

Sedar tidak sedar, sebenarnya Allah menjanjikan banyak kebaikan dan kebajikan kepada mereka yang bertaubat. Maka tidak syak lagi bahawa, jalan keluar ke pintu kebaikan terbuka luas untuk mereka yang sedang bergelumang dalam dosa maksiat. Jangan berputus- asa ke atas keampunan dan rahmat Allah. Ingatlah, bahawa Allah sentiasa menyanyangi dan bersama orang-orang yang ingin mendekati-Nya.

Ya Allah ya Tuhan kami,
jadikanlah kami orang yg tunduk patuh kepada Engkau
dan jadikanlah di antara anak cucu kami umat yang tunduk patuh kepada Engkau
dan tunjukkanlah kepada kami cara-cara dan tempat-tempat ibadat haji kami
dan terimalah taubat kami
Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Penerima taubat lagi Maha Penyanyang

3 comments:

  1. benar bahawa pintu taubat itu maha luas,selagi mata belum tertutup,matahari belum terbit sebelah barat dan belum kiamat ,taubat masih menunggu hambanya yg berdosa

    ReplyDelete
  2. mois2009.blogspot.com

    ReplyDelete