Saturday, July 17, 2010

حي على الصلاة





assalamualaikum..


juz nak kongsi artikel khutbah jumaat mengenai solat yang saya amik dari website jais... meh2 baca

Sidang jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah kita sama-sama mengucapkan kesyukuran kehadrat Allah s.w.t diatas segala nikmat yang telah dikurniakannya kepada kita, semoga dengan kurniaan tersebut akan menambahkan lagi ketakwaan dan ketaatan kita kepadanya, disamping mengerjakan segala yang disuruh dan meninggalkan segala perkara yang menjadi larangannya.

Makna solat dari segi bahasa adalah doa. Dan dari istilah syarak ialah solat yang terdiri daripada perkataan dan perbuatan yang dimulai dengan takbir dan disudahi pula dengan salam. Solat juga adalah suatu kewajipan yang wajib dilakukan oleh semua umat islam, tidak kira ianya miskin,kaya,hamba atau merdeka, lelaki mahupun wanita untuk melakukannya. Sabda rasulullah s.a.w:

"Ditegakkan islam atas lima perkara : pengakuan syahadah iaitu tiada tuhan yang disembah dengan sebenarnya melainkan allah, pengakuan bahawa nabi muhammad itu rasulullah, mendirikan sembahyang,mengeluarkan zakat, menunaikan fardhu haji dan berpuasa dibulan ramadhan".

Daripada hadis yang dibacakan sebentar tadi jelas menunjukkan kepada kita bahawa kewajipan solat amat penting sekali dalam kehidupan seharian bagi setiap individu muslim. Bagi mereka yang meninggalkan solat adalah berdosa besar kerana ia menjadikan seseorang itu tidak ada keislamannya kecuali mengerjakan solat pada setiap waktu disamping menunaikan rukun islam yang lain. Dalam ertikata lain, rukun islam mestilah dikerjakan dan wajib menjadikannya sebagai amalan harian yang berkekalan, supaya tidak cacat sifat keislamannya sebagai seorang muslim.

Sidang jumaat yang berbahagia,

Sebahagian daripada masyarakat kita hari ini menganggap bahawa solat itu sebagai ibadat untuk perseorangan sahaja, namun sebenarnya ada beberapa hikmah dari segi kemasyarakatan yang terjalin dengan cara berhimpun (berjemaah didalam masjid-masjid dan surau-surau.Semua ini adalah menjadikan satu jalinan untuk mempereratkan silaturrahim dan kesedaran bersama bagi mencapai keredhaan allah s.w.t. Begitu juga allah s.w.t mewajibkan keatas mereka supaya melakukan solat jemaah sekali dalam seminggu, disamping mereka berkumpul untuk mengabadikan diri kepada allah s.w.t, dapat juga mereka berkenal-kenalan diantara satu sama lain, disamping mendengar panduan dan nasihat daripada teks khutbah dibacakan oleh khatib demi kebajikan bersama dalam usaha mencapai keredhaan allah s.w.t. Rasulullah s.a.w:

"Solat berjemaah lebih afdhal daripada solat seorang diri dengan beroleh ganjaran 27 darjat".

Riwayat Al-Bahari

Sidang jumaat yang berbahagia,

Solat dalam kehidupan seseorang muslim bagaikan alat penggerak atau pemangkin kepada kecemerlangan ummah dan ianya juga merupakan tiang kepada agama kita. Sabda rasulullah s.a.w:

"Solat itu tiang agama, barangsiapa yang mengerjakannya maka ia menegakkan agamanya dan barangsiapa yang meninggalkannya ia meruntuhkan agamanya".

Riwayat Al-Bahari Muslim

Daripada hadis yang dibacakan tadi, dapatlah kita fahami bahawa orang yang benar-benar beriman kepada allah dan hari akhirat akan merasa bahawa solat itu adalah satu perkara yang mudah dan senang sekali untuk dikerjakan, berbanding dengan sikap orang-orang yang berjiwa kotor serta keji, yang mana akan merasakan begitu sukar dan amat susah sekali untuk melakukan ibadat solat, seolah-olah ibadat solat itu menjadi beban kepada kehidupan mereka, bertepatan dengan firman allah s.w.t:

"Sesungguhnya orang-orang munafik itu melakukan tipudaya (terhadap agama) allah (dengan perbuatan pura-pura beriman sedang mereka kafir pada batinnya) dan allah pula tetap membalas tipu daya mereka (dengan membiarkan mereka dalam keadaan munafik). Mereka pula apabila berdiri hendak sembahyang, mereka berdiri dengan malas. Mereka (hanya bertujuan) riya' (memperlihatkan sembahyangnya) kepada manusia (supaya disangka bahawa mereka oleh orang yang beriman), dan mereka pula tidak mengingati allah s.w.t (dengan mengerjakan sembahyang) melainkan sedikit sekali (jarang-jarang)".

Sidang jumaat yang dirahmati Allah,

Kalau kita renungi dan amati, bahawa ibadat solat yang kita lakukan lima kali sehari semalam dapat melahirkan beberapa sifat kemanusiaan yang unggul, antaranya:

Pertama : sesungguhnya ibadat solat itu boleh melahirkan umat islam yang terbaik, kerana ibadat solat dapat mendidik setiap individu memiliki peribadian yang cemerlang didunia dan akhirat.

Kedua - Solat juga boleh mencegah kita daripada melakukan perkara-perkara mungkar sebagaimana firman Allah s.w.t :

"Dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun), sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar".

Al-Ankabut ayat 45


Ketiga - Solat itu dapat membantu kita samada dalam keadaan senang atau pun susah. Firman allah s.w.t :

"Wahai sekalian orang-orang yang beriman!, mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan ) sembahyang, kerana sesungguhnya allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar".

Al-Baqarah ayat 153


"Wahai sekalian orang-orang yang beriman!, mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang,kerana sesungguhnya allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar".

Keempat - Solat mendidik dan melatih kita menjadi orang yang dapat menghadapi segala kesusahan dengan hati yang tenang dan sabar serta dapat menghilangkan tabiat sombong dan takabur. Ini kerana orang yang benar-benar mendirikan solat tidak sekali-kali takut akan kemiskinan dan keperitan hidup didunia ini.

Kelima - Solat boleh menghasilkan sifat tetap pendirian, mengekalkan kita dalam mengerjakan sesuatu kebajikan dengan memberi kekuatan, kemahuan serta menyuruh kita memelihara peraturan-peraturannya menguatkan sifat displin diri, berhati-hati dan tidak tergesa-gesa dalam mengambil sesuatu tindakan.

Keenam - Bagi menjadikan hati manusia itu baik dan bersih, ianya perlu dibasuh melalui ibadat solat, membaca al-qurannulkarim dan memperbanyakkan amalan-amalan sunat. Ini dapat memberikan ketenangan hati serta melahirkan rasa cinta kepada allah s.w.t, disamping akan memperolehi cahaya iman dengan penuh khusyuk dan tawaduk terhadap perintah allah dan larangannya.

Sidang jumaat yang berbahagia,

Dengan ini jelaslah kepada kita, bahawa mereka yang tidak mengerjakan ibadat solat, maka sudah pasti selama-lamanya mereka dalam keadaan berdosa besar kerana hidup dalam kekufuran. Mereka hanya mengenal kebaikan islam, tetapi tidak terbuka hati untuk beramal ibadat dan menerima ajaran islam. Oleh itu, bagi mereka yang tidak melakukan solat, sudah pasti mereka tidak dapat mengenal allah s.w.t, maka selama itulah pula dia tidak akan pernah mengenal dirinya sendiri. Adakah dirinya seorang yang baik?, seorang yang jujur, seorang yang amanah atau pun dirinya adalah jahat dan penipu?. Seorang yang pendengki,pengkhianat,suka
melakukan maksiat dan lain-lain lagi. Itulah sifat dan kelakuan orang yang tidak mengenal allah s.w.t hasil daripada tindakannya tidak melakukan solat.

Sidang jumaat yang dirahmati allah s.w.t,

Sebagaimana yang kita maklumi, bahawa rukun islam yang kedua ialah solat lima waktu sehari semalam. Dalam sebuah hadis rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh imam bahari bahawa seorang lelaki telah bertemu rasulullah s.a.w lalu ia berkata:

"
Wahai rasulullah!, tunjukkanlah kepada aku satu amalan yang membolehkan aku masuk kesyurga". Maka rasulullah s.a.w menjawab dengan bersabda :

"Engkau hendaklah mengabadikan diri kepada allah s.w.t, jangan menyengutukannya dengan sesuatu pun, dirikanlah sembahyang sebagaimana yang difardhukan dan keluarkanlah zakat serta berpuasa dibulan ramadhan". Lalu orang itu berkata: " Demi allah yang berkuasa keatas diriku, aku tidak akan menambah atau mengurangi sama sekali apa yang telah dijelaskan kepadaku. "Setelah orang itu beredar, rasulullah s.a.w bersabda :"Siapa yang ingin melihat ahli syurga,maka lihatlah kepada lelaki itu".

Sidang jumaat yang berbahagia,

Akhirnya marilah sama-sama kita menilai semula solat fardhu yang telah kita kerjakan, kerana solat itu penghulu segala ibadat yang telah disyariatkan oleh allah s.w.t ketika rasulullah s.a.w dimakrajkan dan juga sekaligus mengangkat darjat solat sebagai ibadat yang terpenting kerana ibadat solat bukan hanya mempunyai nilai rohani, tetapi juga nilai pendidikan, kerana ia bukan sahaja membersihkan dosa, bahkan solat juga mempu mengubah peribadi manusia jika dia mengerjakannya dengan baik dan sempurna. Insya-allah , solat juga merupakan penawar kepada umat islam demi mencapai kebahagiaan hakiki dunia dan akhirat.

Ya-Allah , engkaulah tuhan yang maha berkuasa,kami bersyukur kehadratmu yang telah mengurniakan kami rahmat dan nikmat, sehingga kami dapat meneruskan usaha kearah memperkukuhkan negara umat islam khususnya negeri selangor, sebagai negeri yang maju dan sejahtera. Justeru kami pohon kehadratmu ya-allah, tetapkanlah iman kami,murahkanlah amal rezeki kami,kayakanlah kami dengan ilmu yang bermanfaat, suburkanlah jiwa kami dengan budipekerti yang mulia, kembalikanlah generasi muda kami kejalan yang engkau redhai,lindungilah kami daripada ujianmu yang beratseperti banjir besar,kemarau panjang,wabak penyakit,persengketaan,kem
iskinan dan lain-lain lagi supaya dengan demikian,, negeri kami akan sentiasa bertambah makmur dan berkat.


sumber:
http://www.jais.gov.my/index.php?option=com_content&task=view&id=389&Itemid=72





No comments:

Post a Comment